Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

HIDAYAH

Hidayah dan taufiq itu milik Allah. Kita sebagai makhlukNya yang bernama manusia, tidak dapat tidak perlu sentiasa memohon hidayah dan rahmat daripada Yang Maha Mencipta. Bertuah dan sangat beruntung bagi mereka yang dipilihNya.

Setiap manusia pasti ada kelemahan dan kekurangannya. Aku tidak lari daripada kedua-duanya.

Dakwah. Dakwah itu wajib bagi mereka yang bergelar Muslim. Atas kelemahan diri, gagal ke puncak dakwah. Hanya memegang darjat terendah dalam berdakwah. Teringat persoalan teman, 'Kenapa awak tak dakwah/tarbiyah kawan-kawan kita?' Aku hanya mampu terdiam.

Siapa yang tidak ingin manusia disekelilingnya sama-sama berusaha mendamba redha dan kasih Ilahi? Siapa yang tidak mahu orang yang mereka sayangi, bersama berusaha menanam rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah Muhammad SAW?

Segala yang berlaku, semuanya daripada Allah. Namun, sebagai manusia pintu doa dan usaha sentiasa terbuka. Aku mengharapkan hidayah dan rahmatNya buat diriku dan mereka yang aku sayangi. Keluarga, guru-guru, teman-teman dan Muslim keseluruhannya. Namun, penting juga untuk diingatkan, hidayah itu milik Allah Taala. Hatta bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab juga terkecuali daripada mendapat hidayah Allah. Na'uzubillahi min zalik.

Teringat kata al-Habib Ali al-Jufri dalam satu temubual yang turut membawakan Dr. Saed Ramadhan al-Buthi. Berkenaan peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Thaif, dan penolakan penduduknya terhadap dakwah Islam.

Seperti apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW semasa di Thaif. Apabila kita mendapat kesukaran menimpa kita, begitu juga jika ada musuh menindas kita. Padanya ada pintu pengharapan. Maka kita memerlukan 2 adab bersama Allah SWT. Ini terdapat pada peribadi Rasulullah SAW.

Adab pertama; pengaduan kepada Allah, bukan kepada makhluk. Bantuan, sokongan serta pertolongan itu bukanlah daripada manusia. Mereka tidak memberi faedah mahupun kemudaratan. Tetapi ianya dari Allah sahaja. Sabda Rasulullah SAW ketika dicerca dan dihalau peduduk Thaif tika itu: "Ya Allah, aku mengadu padaMu.." Ini menunjukkan, pengaduan itu kepada Allah, bukan kepada makhlukNya.

Pengajaran kedua; mengadu kepada Allah tentang diri kita, dan bukan mengadu tentang orang lain. Baginda SAW tidak mengadu tentang tentangan, cercaan dan penindasan kaum musyrik kepada Baginda. Tetapi baginda SAW menyebut: "Aku mengadu kepadaMu tentang keupayaanku yang lemah ini.." Bahkan baginda SAW mendoakan kebaikan untuk penduduk Thaif yang sebelumnya menghina baginda SAW. Subhanallah.

Melalui peristiwa tersebut, kita dapat pelajari bahawa, apabila kita ditimpa sesuatu. Hendaklah dengan mengadu kepada Allah, bukan kepada makhluk. Dan jika kita mengadu kepada Allah, tentang diri kita dan bukannya makhluk lain. "La nasyku ila al-khalq, wa la nasyku al-khalq".

Wallahu a'lam..

0 comments:

Post a Comment