Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

MENGARANG

Hampir sebulan aku tidak menulis, agak sibuk dengan urusan pembelajaran mungkin. Terkadang terasa agak penat.

Boleh dikatakan juga, belakangan ini aku lebih senang mengarang kata. Kata yang datang dari dalam diri. Mungkin jua seperti puisi. Namun, hasilnya tidaklah seperti mereka yang pakar dan berbakat dalam bidang penulisan. Sekadar luahan, tidak lebih daripada itu. Jika ada yang nak dijadikan entry dalam pondok ini, aku masukkan. Jika tidak, aku hanya abadikan dalam helaian kertas. Tiada pengkhususan didalam mengarang. Tulisan datang bersama masa. Mengadu di atas helaian kertas.

Sebelum pulang bercuti raya, mungkin kerana dorongan seorang pensyarah untuk mencari malam al-Qadr, aku rasakan begitu terdorong untuk mencarinya. Agar aku termasuk antara mereka yang bertuah.

Kemudian harinya, ramai yang mengatakan malam al-Qadr jatuh pada malam ke-25 Ramadhan. Berkebetulan dengan hari tersebut, aku terlibat dengan program taaruf pelajar tahun 1 anjuran fakulti. Pulang ke asrama dengan keadaan yang agak penat. Hanya sempat membersihkan diri seterusnya tidur. Seketika terjaga daripada tidur, suasana terasa damai dan tenang. Berbekalkan 2,3 kali zikir yang diberikan seorang pensyarah. Dalam keadaan mamai. Kembali tertidur.

Esok harinya, seorang teman bercerita. Katanya, berkemungkinan malam ke-25 itu malam al-Qadr. Serentak itu, hati terasa sayu. Sedih. Menyesal. Diri ini selalu sahaja menyesal di kemudian. Helaian kertas diambil. Aku mula mengarang.

Terubat pula dengan kata seorang pensyarah, aku cuba lagi untuk kesekian kalinya. Agar punya kesempatan mendapatkan malam berkat. Namun, harapan dan impian tidak semuanya berjaya dikecap. Apatah lagi, bagi mereka yan tidak layak dan tidak cukup syarat seperti aku. Hanya perasan seorang diri. Selalu sahaja mengharapkan sesuatu yang tidak layak buat diri. Sungguh tidak tahu diri.

Apapun, pengetahuan tentang malam al-Qadr itu hanya milik Allah. Mungkin juga bagi hamba-hamba yang dipilihNya. Bertuah dan beruntung bagi mereka yang berpeluang mendapatkan al-Qadr. Bagi yang tak berkesempatan, boleh cuba lagi. Andai nyawa masih dikandung badan. Doakan aku.. Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment