Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

NAIL AL-AUTHAR

Berkesempatan dengan penjualan kitab-kitab Arab di foyer Fakulti Syariah dan Undang-undang, aku tidak melepaskan peluang untuk turut berkunjung melihat-lihat kitab-kitab yang ada. Alhamdulillah, atas izinNya aku berkesempatan membeli kitab Nail al-Authar, 2 jilid, karangan Imam asy-Syaukani.

Namun, apa yang ingin disebutkan disini bukanlah tentang kitab tersebut. Tetapi tentang apa yang berlaku semasa urusniaga pembelian kitab tersebut. Pada mulanya, aku menolak untuk mengambil kitab yang dipamerkan di situ, kerana ada sedikit kotoran dan cebisan kulit kitab yang tertanggal (sebenarnya tak mencacatkan rupa kitab itu pun). Peniaga Arab itu kemudiannya, membawa kisah ulama’ terdahulu dalam menuntut ilmu. Jenis helaian, kulit dan segala kekurangan dalam alat untuk menuntut ilmu tidak dihiraukan, yang penting ilmu yang ada didalamnya.

Sedikit-sebanyak pengalaman itu menimbulkan kesedaran dalam diri. Sebelumnya aku amat menitikberatkan rupa sesuatu kitab sebelum memilih atau membelinya, tanpa memikirkan isi kandungan di dalam kitab itulah yang lebih utama. Astaghfirullah innallAllah kana Tawwaba.

Pada mulanya, Ghanim, peniaga arab tersebut memperkenalkan kitab-kitab yang ada dalam bahasa Arab. Jadi, aku fikirkan ia tidak tahu berbahasa Malaysia. Aku turut membalas dalam bahasa Arab walaupun agak teruk. Yang penting, Ghanim boleh memahami apa yang mahu aku sampaikan. Pada hari itu, hanya 1 set kitab Nail al-Authar yang dibawa untuk dijual, aku membelinya. Seorang rakanku yang turut mahukan kitab itu diminta datang sekali lagi keesokan harinya. Ghanim meminta nama dan nombor telefon rakanku itu sebagai pengesahan. Sewaktu Ghanim meminta nombor telefon rakanku itu, baru aku tahu rupanya ia boleh memahami bahasa Malaysia. Agak terpana. Hm, biarlah.. Sekurang-kurangnya sebelum itu aku berpeluang berlatih berbahasa Arab dengannya.

0 comments:

Post a Comment