Selesai sahaja menjawab peperiksaan akhir bagi subjek Bahasa Jepun 1, aku terus ke kampus. Aku ada temujanji dengan seorang rakan untuk bertemu Ustaz Zohdi bagi membincangkan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan kajian dalam bidang hadith. InsyaAllah..
Aku berseorangan kini, menunggu ketibaan rakan yang akan tiba selepas waktu Zuhur nanti. Melayari ruang2 maya, Agak tenang. Sunyi. Jarang aku dapat membaca dengan konsentrasi ini. Bagiku, membaca perlukan konsentrasi, supaya kita dapat memahami apa yang telah kita baca.
Semalam, setelah membelek-belek majalah Anis milik seorang rakan, pandanganku tertancap pada sudut sekilas yang memaparkan wajah, sekaligus nama yang aku cari-carikan sebelum ini, KH Abdullah Gymnastiar (Aa Gym), Pengasas Pesantren Daarut Tauhid. Aku pernah mencoretkan beberapa inti tazkirah beliau di blog ini sebelum ini. Tazkirah semasa beliau dijemput sebagai panel dalam rancangan Al-Kuliyyah TV3. Namun, pada masa itu aku kurang ambil peduli siapa diri beliau. Setelah mendengar kandungan dan bait kata-katanya, aku jadi kagum. Kagum dengan penyampaiannya. Ringkas. Tetapi terkesan dihati.
Aku gunakan peluang hari ini juga untuk mencari website beliau, KH Abdullah Gymnastiar (Aa Gym). Puas aku menyelongkar semak-semak maya ini, namun tidak berjaya menemukan website beliau. Aku tidak kecewa. Dahulu pun, sudah lama aku ingin tahu nama beliau supaya aku boleh dapatkan informasi-informasi daripadanya, dan sekarang aku sudah mengetahui nama beliau. Sedikit sebanyak ada jua hasilnya walau hanya tahu akan nama beliau. Moga selepas ini dipermudahkan pula untuk menemukan laman beliau.
Antara kalam Aa Gym:
“Setiap yang Allah redha pasti diizinkan-Nya, tetapi yang diizinkannya belum tentu diredhai.”
“Jangan takut mati, tetapi takutlah jika hidup tetapi tidak dekat dengan Allah.”
“Hati hanya bisa disentuh dengan hati.”
Pendidikan yang baik, menurut Aa Gym, dimulai dengan mendidik diri sendiri. Ia selalu memulai segala sesuatu dengan konsep yang disebutnya 3M. Konsep 3M ini selalu ia gunakan dalam berdakwah.
1. Mulailah dari diri sendiri
2. Mulailah dari hal yang kecil
3. Mulailah dari saat ini
“Bagaimanapun juga, kita tidak bisa mengubah orang lain tanpa diawali dengan mengubah diri sendiri. Jangan menyuruh orang lain, sebelum menyuruh diri sendiri. Dan jangan melarang orang, sebelum melarang diri. Jikalau kita awali dari diri sendiri, setiap perkataan Insya Allah akan menjadi kekuatan yang menggugah dan mengubah.”

0 comments:
Post a Comment