Sambil-sambil melayari ruang maya, teringat tentang blog alumni 05 ex- sekolah menengah aku dahulu. Dengan berhati-hati aku ziarahi laman blog tersebut. Kelihatannya, ada makluman terbaru..
“assalammualaikum kepada rakan2 seperjuangan....pe kabo sume?disini ad 1 cadangan kpd sume...adakah kamu semua setuju tuk wat pgram kt wosto taun ni...klu setuju bg kn sbb n pgrm pe?klu x stuju bg kn sbb?thanks...”.
Nampaknya, ada usul untuk mengadakan program di sekolah kami dahulu. Tempat yang menemukan aku dengan berjuta kenangan dan memori pahit manis. Majoriti daripada komen yang diterima menyatakan persetujuan untuk mengadakan program tersebut. Walaupun belum dikenalpasti tema dan objektif program.
Pada hakikatnya, kami baru sahaja mengadakan program bersama di sekolah tersebut tahun lepas. Aku hanya dijemput sebagai fasilitator dalam program tersebut. Mungkin kerana cubaan pertama mengadakan program di peringkat sekolah, daripada pandangan mata kasarku program tersebut seakan terlalu biasa. Mungkin kerana kurangnya persediaan. Program dirancang dalam masa yang terlalu singkat. Di akhirnya, program berlangsung berbekalkan persediaan yang kurang. Namun, sedikit sebanyak moga ada yang mendapat manfaatnya. Insya Allah.
Pada pandangan aku, tidak perlulah begitu tergesa-gesa nak buat program-program ni. Pada kebiasaannya, program yang diadakan bertemakan motivasi. Tapi mungkinkah ada kesannya, andai mereka yang mengendalikan program juga masih kurang motivasinya? Nak mengajak adik-adik menyedari kepentingan ilmu, tetapi, sedarkah kita tentang kepentingan ilmu? Nak menyeru adik-adik mengamalkan akhlak Islam. Tapi, beramalkah kita dengan akhlak tersebut?
Bukan ingin mengaibkan sesiapa, tetapi layakkah kita nak menyeru orang lain ke arah kebaikan. Aku ada terdengar, ada antara rakan-rakan yang meninggalkan solat. Setelah sekian sejak lama berada di kedai makan. Hampir ke penghujung waktu maghrib, masih lagi membuat tempahan benjo. Di mana waktu solat mereka? Masing-masing belajar agama. Tahu tentang agama. Dan, masih berada dalam bidang yang sama. Mengapa masih terjadi perkara sedemikian rupa? Begitu juga tentang aurat. Lutut dibiarkan tanpa sesuatu yang melindungnya.
Rakan-rakan sejantina pula dengan masalahnya sendiri. Seolah-olah tidak pernah mengaji tentang agama. Tidak malu dan tidak segan pula bertemu dengan rakan-rakan yang sama belajar agama dengan mereka dahulu. Malah, seolah-olah berbangga dengan penampilan baru mereka.
Aku terkedu dengan pertanyaan sahabat ku yang belajar di Mesir pabila aku diminta untuk mengkhabarkan perihal rakan-rakan yang lain.
“Kawan-kawan kita macam mana sekarang?”
“Sedihnya, kenapa boleh jadi macam tu..”
“Awak tak dakwah diorang ke?”
“Tarbiyah?”
Dan aku. Hanya terdiam.
“Ya Allah. Peliharalah hati-hati kami. Penuhi hati kami dengan cahaya hidayahMu. Agar dapat kami amalkan segala perintahMu, jauhi apa yang telah Engkau tegah. Jadikanlah segala urusan kami hanya untuk menggapai redhaMu. Kurniakanlah kekuatan kepada kami dalam menegakkan agamaMu. Wahai Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, permudahkanlah urusan kami.. PadaMu Allah Aku serahkan segala. Ameen..”

0 comments:
Post a Comment