Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

MINGGU INTEGRITI

Khamis lepas, (26/02/09), aku telah menghadiri sebuah ‘talk show’ yang disampaikan oleh personaliti, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang bertempat di DKP 4, Universiti Sains Islam Malaysia. Program tersebut dijadualkan untuk berlangsung pada pukul 8.30 malam. Bersempena sambutan Minggu Integriti USIM 2009.

Pada mulanya rasa agak kecewa. Berkemungkinan aku tidak punya kesempatan untuk mengikuti program tersebut. Kerana malam itu juga aku juga punya kelas yang perlu dihadiri pada jam 9. Kalau sempat pun, aku tidak dapat mengikuti ‘talk show’ itu daripada mula. Mungkin sudah menjadi rezeki aku dan rakan-rakan, semasa kelas yang aku hadiri bermula, ustaz yang mengajar kami mencadangkan agar diringkaskan waktu kelas malam itu kepada lebih kurang 20-30 minit sahaja. Beliau juga ingin menghadiri program bersama Ustaz Hasrizal itu.

Lebih kurang jam 9.35 kami tiba di tempat program berlangsung, serentak ketika kami masuk ke dewan, Ustaz Hasrizal baru dijemput naik ke pentas, menandakan majlis akan bermula beberapa ketika lagi. Seakan urusan dipermudahkan, sepertinya doaku dimakbulkan.. Alhamdulillah, aku berpeluang menghadiri ‘talk show’ bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sejak mula hingga akhirnya. Sebuah program yang aku rasakan amat bermanfaat, andai ilmu yang didapati melaluinya diamalkan.

‘Talk show’ tersebut bertemakan Integriti Luar Kampung, luar kampung di sini membawa pengertian berfikir di luar kotak. Ustaz Hasrizal lebih banyak bercerita tentang pengalaman hidupnya dalam menyampaikan sesuatu mesej.

Melalui program tersebut, Ustaz Hasrizal mengajak para pendengar untuk bertanding dengan diri sendiri untuk melihat sejauh mana kebolehan diri sendiri. Dalam erti kata lain, mencabar diri sendiri untuk menguji sejauh mana kita boleh pergi. Selain tidak putus asa pada rahmat Allah.

Beliau juga turut membahaskan faktor-faktor untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih cemerlang, iaitu melalui; ilmu, kemahiran, maklumat yang ada, dan sikap (akhlak). Selain membuat kesimpulan dan perbandingan terhadap faktor-faktor tersebut. Katanya, keempat-empat faktor itu penting, tetapi semuanya perlu diselaraskan dengan sikap dan akhlak yang baik. Seseorang tidak mungkin sukakan seorang yang berilmu, melainkan orang itu berakhlak dengan ilmu yang dia ada. Seseorang tidak mungkin sukakan seorang yang banyak kemahiran, melainkan kemahirannya itu disertakan dengan sikap yang baik. Seseorang tidak mungkin sukakan seorang yang mengetahui banyak maklumat, melainkan dengan maklumat yang dia ada membuatkan orang lain senang dengan sikapnya.

Begitu juga dalam proses memilih teman. Adakah kita hanya memandang kepada ilmu, kemahiran, dan maklumat yang ada pada seseorang? Bukankah kita juga melihat kepada sikapnya? Ini bermakna, sikap seseorang memainkan peranan dalam mempentuk keperibadian diri. Seseorang itu dinilai melalui sikap dan akhlaknya. Mungkinkah kita menyanjungi seseorang yang berilmu, banyak kemahiran dan maklumat yang ada pada dirinya, tetapi berakhlak buruk?

Sesuai dengan peringkat umur majoriti penonton ‘talk show’ tersebut, Ustaz turut menyatakan cabaran terbesar yang dihadapi muda-mudi, iaitu gelodak emosi. Beliau menyeru para penonton untuk berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan. Sebagai contoh, dalam masalah cinta. Ramai dalam kalangan muda-mudi kini yang asyik bercinta, dan amat berharap (+ tak sabar) untuk mengakhiri hubungan itu dengan perkahwinan. Perkara ini memerlukan kita berfikir panjang, cinta bukan hanya sekadar memikirkan indahnya perkahwinan itu sahaja, tetapi perlu memikirkan juga hingga ke peringkat ‘lampin’ (anak-anak yang bakal dilahirkan) dan lain-lain lagi.

Ustaz juga mengupas kata-kata Ash-sheikh Muhammad Abduh, ketika mana beliau dibuang daripada Mesir, kemudiannya merantau ke beberapa tempat sehingga ke Paris. Apabila beliau kembali ke Mesir, beliau berkata: “Aku pergi ke Paris, bertemu Islam tanpa Muslim, tetapi apabila balik ke Mesir, aku berjumpa Muslim tanpa Islam”. Dalam maksud kata-kata ini jika kita renung-renungkan.

Bersebabkan masa yang dikatakan begitu cemburu dengan kami, hanya satu soalan sempat ditanyakan daripada pihak penonton dan dijawab oleh Ustaz Hasrizal. Berkenaan dengan keadaan pelajar-pelajar kini yang selesa dengan segala kemudahan yang telah disediakan untuk belajar, mengundang sifat lupa diri dan kurang menghargai kepentingan ilmu yang sebenarnya. Tidak seperti golongan ulama’ terdahulu yang mengharung kesusahan demi kesusahan dalam menuntut ilmu, seterusnya mempunyai hati dan keyakinan yang waja dan menghargai ilmu.

Ustaz menjawab, seseorang itu tidak boleh menyalahkan suasana dan keadaan atas kelemahan diri sendiri. Kita adalah penentu untuk diri sendiri. Takkan lah nak tunggu waktu tiada kemudahan baru nak menghargai kepentingan ilmu? Kita tak perlu mengharap kesusahan itu tiba, tetapi bersyukurlah kerana diberi kemudahan dan kurniaan yang tidak ternilai daripadaNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur.. Ameen.

0 comments:

Post a Comment