Soalan:
Saya seorang pelajar lelaki tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Entah bagaimana, 2 bulan yang lalu tiba-tiba saya jatuh cinta dengan rakan sekelas saya.
Sejak itu kami saling bercinta. Pada masa yang sama saya memang menyimpan cita-cita yang membara untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Soalnya, apakah cinta saya akan menjejaskan cita-cita saya atau cita-cita saya akan menggagalkan cinta saya. Tolonglah, saya tidak ingin hilang kedua-duanya. Saya cinta teman wanita saya dan saya juga ingin mencapai cita-cita saya. Berikanlah sedikit panduan untuk saya menangani persoalan ini dengan tepat dan baik…
Dilema yang saudara hadapi kini ialah sekadar kebimbangan, kerisauan dan ketidak-pastian, samada cita-cita akan menguburkan cinta atau sebaliknya. Walaupun konflik belum terjadi tapi eloklah difikirkan terlebih dahulu dan saya puji langkah pro-aktif saudara ini. Baiklah mari kita lihat kedua-dua subjek ini dengan lebih rasional, tenang dan realistik. Marilah kita kenal dahulu antara kedua-dua perkara ini (cinta dan cita-cita) mana yang lebih nyata, lebih penting dan lebih mendesak. Kita lihat dahulu apakah yang dikatakan cinta. Cinta itu luas, tetapi dalam konteks ini ia hanya terbatas antara cinta saudara terhadap teman sekelas saudara. Cinta adalah hubungan hati yang terbentuk atas asas yang konkrit, tujuan yang suci, dengan pelaksanaan yang bersih dan kesan yang mulia.
Sebagai seorang Islam cinta kita mestilah dibina atas dasar iman, tujuan yang syarie, mengikut kaedah syariat dan kesan akhir yang diharapkan ialah terbentuknya ikatan perkahwinan yang sah diantara yang bercinta. Cinta tidak boleh didasarkan hanya atas kehendak nafsu dan perasaan semata-mata. Cinta adalah sesuatu yang serius dan bermatlamat. Ia bukan satu keseronokan, kelalaian dan khayalan. Tetapi ia mempunyai tanggung-jawab, risiko dan kenyataan. Saya tekankan hakikat ini justeru ramai orang yang bercinta tetapi tidak tahu dan tidak faham apa yang dikatakan cinta yang sebenar. Apabila dirasakan satu perasaan ‘suka’ tiba-tiba hinggap di dalam hati terhadap seseorang, maka itu sudah ditafsirkan sebagai cinta. Sedangkan hakikatnya itu adalah perasaan yang kadangkala berbentuk sementara dan dibumbui pula khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.
Saya ingin mengingatkan bahawa jika perkenalan anda dan teman anda itu baru berusia 2 bulan, maka saya khuatir itu belum lagi dikatakan cinta. Bukan untuk merendah-rendahkan perasaan saudara atau apa yang sedang saudara alami tetapi seperti yang saya katakan sebelum cinta itu adalah sesuatu yang konkrit, bermatlamat dan objektif sifatnya. Jadi tolong tanyakan diri saudara, apakah matlamat, tujuan dan hasil akhir yang diharapkan dari cinta saudara. Atau ia sekadar buaian perasaan yang bersalut keindahan pertemuan, pendengaran, penglihatan dan sentuhan? Ramai remaja yang menglami cinta jenis ini… cinta yang datang dan pergi, bertukar-ganti, tanpa kemudi hati dan pemikiran. Ya, cinta monyet atau ‘cinta kilat’. Untuk memastikan apakah cinta anda cinta jenis ini, maka telitilah semula asasnya, objektifnya dan cara melaksanakannya. Mungkin saudara akan berkata tidakkah soalan-soalan ini terlalu awal untuk ditimbulkan?
Ya, jika saudara menganggap soalan itu terlalu awal atau terlalu serius buat masa ini maka ada yang sesuatu yang tidak kena dengan ‘cinta’ saudara itu. Jika itulah respon saudara atas soalan-soalan yang saya ajukan, maka saya yakin dua kemungkinan inilah penyebabnya. Pertama, apa yang saudara alami sekarang adalah bukan cinta. Kedua, masih terlalu awal buat saudara untuk bercinta. Maaf, bukan tujuan saya merendah-rendahkan diri saudara tetapi kadangkala kita perlu mengingatkan realiti sesuatu permasalahan walaupun agak pahit diterima. Pada saya apa yang saudara alami sekarang hanyalah perasaan ‘tertarik’ yang juga merupakan ‘instinc’ para remaja. Ini normal. Lelaki tertarik kepada wanita dan begitulah sebaliknya. Rasa tertarik ini bukan cinta, kerana ia berada ‘dipermukaan’ (surface) hati bukan ‘di dalam hati’ (indepth) hati. Ia belum bersifat kekal dan boleh berubah kalau ada cabaran mendatang. Dalam situasi ini anda berpotensi untuk mengecewakan dan dikecewakan. Saudara mungkin tertarik dengan yang lain, dan teman anda juga boleh tertarik dengan yang lain.
Masih terlalu awal untuk bercinta… Saudara tidak percaya? Baiklah, untuk melihat dengan lebih jelas dan realistik, mari kita mulakan dengan sesuatu yang disebut ‘begin with the end in mind’ – maksudnya mulakan dengan sesuatu pengakiran di dalam pemikiran. Apa hasil akhir yang anda harapkan dari cinta anda? Tentulah berkahwin, punya anak dan keluarga yang bahagia. Untuk mencapai semua itu anda perlukan apa? Ya, tentu anda perlu melengkapkan diri menjadi seorang suami yang baik. Apakah sifat-sifat dan ciri suami yang baik? Suami yang baik punya ketaqwaan yang tinggi dalam mendidik isteri dan anak-anak, mempunyai akhlak yang baik untuk menyerikan rumah tangga serta mempunyai sumber pendapatan yang stabil untuk menyara kehidupan keluarga. Bagaimana untuk menjadi suami yang bertaqwa? Bagaimana untuk menjadi ayah yang berakhlak? Bagaimana hendak mempunyai sumber pendapatan yang baik dan stabil?
Jawapannya jelas, iaitu anda perlulah menuntut ilmu samada ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah (seperti yang anda tuntut di sekolah sekarang). Dengan ilmu agama anda boleh melengkapkan diri menjadi seorang suami yang baik. Anda hayati rukun Iman dan laksanakan rukun Islam. Anda tegakkan amalan wajib dan tinggalkan perkara-perkara yang haram. Anda lawan keinginan nafsu dan berperang dengan syaitan. Dan akhirnya terbinalah sifat mahmudah (baik) dalam diri saudara dan terhindarlah sifat mazmumah (keji) dalam diri saudara. Pada ketika itu anda telah bersedia untuk menjadi suami yang soleh. Memanglah, kita tidak payah menunggu tahap yang benar-benar sempurna untuk berkahwin tetapi sekurang-kurangnya kita wajib mempunyai persediaan minimum untuk itu.
Tidak cukup sekadar itu, anda juga perlu punya ilmu yang tinggi untuk mendapat pekerjaan yang baik atau memulakan sendiri perniagaan (jika anda pilih untuk berdikari). Anda perlu lulus dengan cemerlang dalam SPM tahun ini seterusnya melayakkan diri untuk belajar di pusat pengajian tinggi. Kemudian anda perlu belajar dengan lebih gigih, lebih tekun apabila berada di universiti kerana cabaran akademik dan luarannya lebih kuat daripada apa yang anda alami di sekolah menengah. Untuk mendapat pekerjaan yang baik, tidak cukup sekadar lulus sahaja, tetapi anda mesti lulus dengan cemerlang. Untuk itu anda perlu mengorbankan masa rehat dan santai anda bagi mengulangkaji nota kuliah, merujuk buku-buku, membuat tugasan dan menulis laporan, kajian dan sebagainya. Dan jangan lupa, anda juga perlu mempraktikkan sifat-sifat muslim yang soleh seperti solat, berkasih-sayang dan mengamalkan cara hidup yang baik.
Nah, sekarang
Panjang bicara kita tentang cinta. Sekarang apa pula yang dikatakan cita-cita? Semua tentang cita-cita telah saya terangkan sewaktu saya menjelaskan tentang cinta tadi. Ertinya, dalam cinta ada cita-cita dan dalam cita-cita ada cinta. Kadangkala cinta terangkum dalam kebesaran cita-cita. Tetapi ada kalanya cita-cita tersulam dalam keindahan cinta. Tetapi buat pelajar seperti anda, suka saya menasihatkan dahulukanlah cita-cita… Justeru ia lebih konkrit, realiti dan prioriti. Anda mungkin kehilangan cinta dalam memburu cita-cita, tetapi usah risau mungkin seperti yang saya katakan tadi yang anda hilang itu hakikatnya bukan cinta. Dan setelah cita-cita anda tercapai… saya yakin anda akan temui cinta yang sebaik-baiknya dan semurni-murninya berada di hadapan mata. Pada ketika itu belai dan suburkanlah pohon cinta itu dengan baik kerana anda sudah cukup layak untuk itu. Baja harta, air taqwa, cahaya ilmu dan tanah iman sudah menjadi milik anda. Tetapi awal, jika cinta didahulukan daripada cita-cita… anda mungkin kecundang, pertama cinta terlalu rapuh. Sekerat jalan ia mungkin patah. Dan anda akan terjerumus dalam lemah ‘frust’ dan kecewa. Dan katakanlah cinta anda dan sidia mungkin suci dan bertahan sehingga ke hujung. Malangnya apabila sampai ke hujung… anda tidak punya apa-apa untuk menyuburkan pohon cinta itu. Anda ketandusan taqwa, ketandusan ilmu, kekurangan harta untuk menmbina sebuah perkahwinan yang baik. Kerana apa? Rupa-rupanya anda silap, dalam mengejar cinta anda telah mengabaikan cita-cita.
Ya, bermula dengan sesuatu yang jelas dan utama. Mulakanlah dengan cita-cita. Justeru usia di tahap anda, cita-cita-cita itulah yang jelas nyata. Pesan akhir saya, cintailah cita-cita anda!
0 comments:
Post a Comment