
Sebut tentang sabar ini, aku teringat perbualan aku dengan abah. Antara isi kata-kata abah. Sabar. Dimarah tidak melenting. Dikutuk dengarkan sahaja. Tidak simpan di dalam hati. Abah mengakui, aku punya sifat cepat marah dan tidak sabar. Abah mengimbas kembali peristiwa-peristiwa lalu. Sifat abah yang selalu inginkan kepastian dalam bertanya, ala-ala iklan burung murai kat TV tu membongkar sifat mereka yang kurang sabar. Aku antaranya.
Aku cuba untuk berubah. Menahan rasa marah itu amatlah sakit. Mempraktiskan sabar memerlukan kekuatan. Tangisan diakhirnya, melambangkan diri yang lemah. Jika diimbau kisah muda-muda dulu, diri ini amatlah kurang ajar. Bermasam muka dengan ibu bapa. Melawan. Biasa. Tidak ingin aku ulanginya lagi. Kerana perasaan bersalah itu amat pahit. Di tambah pula dengan sukarnya bibir ini mengungkap kata maaf. Aku sayangkan mak dan abah. Tidak mungkin bagi kita untuk menyakiti atau menyusahkan orang yang kita sayang bukan?
Aku belajar agama. Mak dan abah menghantar aku untuk belajar tentang agama. Mereka buat begitu agar aku menjadi manusia bermanfaat pada diri, ibu bapa, masyarakat dan agama. Kata guru, orang yang belajar agama perlulah beramal dengan ilmunya. Kalau orang yang belajar agama pun tiada beramal dengan ilmu, siapa lagi? Aku di ajar untuk mengasihi ibu bapaku. Redha Tuhan ada pada mak dan abah. Aku cuba, aku mesti, aku mesti biasakan diriku dengan sifat sabar. Moga dipermudahkan.
Jika ada mereka yang mengatakan sifat pemarah dan kurang sabar ini diwarisi. Aku setuju. Namun, itu tidak dapat dijadikan hujah. Kita semua boleh berfikir sendiri. Menuding jari ke arah orang lain menunjukkan kelemahan diri kita sendiri. Bukankah Islam sendiri mengajar umatnya untuk bersifat dengan sifat sabar? Kita bersifat pemarah? Siapa lagi yang patut dipersalahkan? Bukankah semua itu dari Allah, berkemungkinan sebagai ujian dan tarbiyah untuk hamba-hambaNya. Salahkan diri sendiri, mengapa tidak mampu melawan marah dan sebagainya.
Namun, untuk memiliki hakikat sifat sabar bukanlah mudah. Terlebih dahulu perlu diuji. Melalui ujian itulah kita dapat mengukur sejauh mana tahap kesabaran diri. Sakit dan peritnya.
Entri dalam blog ini sekadar teguran untuk diri sendiri. Kali ini juga. Hati kecilku bersuara menegur diri. Hati ini juga berbicara, ini tarbiyah buatku. Tuhan kasihkan aku, Dia ilhamkan aku tentang hal ini. Agar aku sedar. Sering sahaja ketika aku lalai dan semakin lalai, Dia mengingatkan. Ini menguatkan andaianku, Dia ingin bercinta denganku, namun hanya aku yang sentiasa menolak cinta itu. Sentiasa curang dengan dunia.
Pernah juga terlintas untuk bersendiri. Lari dari dunia. Namun, atas kasihNya padaku Dia mengingatkan aku untuk mengejar akhirat tanpa meninggalkan dunia. KataNya, aku punya tanggungjawab dan kewajiban terhadap ibu bapa untuk ditaati, ilmu untuk dituntut dan pelbagai tanggungjawab lainnya. Pendek kata, berusaha di dunia untuk mendapat akhirat.
Aku ingin untuk setia denganNya. Sebagai tanda penghargaan terhadap Dia yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Walau hakikatnya Dia tidak perlukan apapun daripada hamba-hambaNya. Sebaliknya, hamba-hambaNyalah yang amat memerlukanNya. Aku pohonkan izinNya agar diberi kekuatan mental dan fizikal dalam menempuh hidup di dunia ini. Kekuatan yang berlandaskan ajaran Islam. Ameen. Doakan aku.
"Dan cukuplah kematian, Jadi satu pengajaran.."
Blog Pilihan
Blog Pilihan_2
Blog Rakan
Arabic Website
Resepi Pilihan
Bloggers
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment