Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

DEKAN @ DR ADNAN

*Dr. Adnan menyampaikan ucapan beliau sewaktu Bengkel Kepimpinan FPQS


*Barisan fasilitator dan urusetia sepanjang program Bengkel Kepimpinan FPQS




Dua hari ini aku jadi ‘lone ranger’. Berjalan dan berurusan ke sana-sini seorang diri. Kadang-kadang agak senang dengan keadaan macam tu. Senang nak bergerak, masa pun agak kurang terbazir. Urusan pun jadi mudah untuk diselesaikan. Bi iznillah.

Siang tadi pula aku ke bilik Dr. Adnan, Dekan FPQS. Ada beberapa perkara yang nak ditanya dan dibincangkan bersamanya. Nak jumpa dekan ni kena cari masa juga, maklum sahaja pensyarah-pensyarah pun sibuk dengan tugasan masing-masing. Apatah lagi beliau yang dipertanggungjawabkan jawatan dekan fakulti.

Sebut tentang Dr. Adnan ni, aku mula melihat wajahnya dengan jelas sewaktu mengikuti program kepimpinan anjuran fakulti semester lepas. Di dalam program itu, beliau mengendalikan sesi ucapan berkaitan hala tuju mahasiswa, khususnya pelajar QS. Melalui sesi itu aku mula membuat hipotesis tentang diri dan peribadi beliau.

Tanggapan awalku terhadap beliau sewaktu program tersebut;
“Seriusnya muka dekan ni, nak tido pun segan..” (tersengguk-sengguk juga di akhirnya, time dekan pandang mata cerah semula.. sekejap pejam, sekejap celik)
“Seriusnya.. Tak de masa senyum pun..” (agaknyalah.. mungkin dekan ada senyum time aku lena di kerusi..he)

Awal semester lalu, agak tak selesa bila tahu dekan yang akan mengajar aku dan kawan-kawan subjek Tafsir Tahlili, kuliah dan tutorial. Tapi, tetap pasrah.

Hari demi hari, minggu demi minggu. Aku rasa agak bersemangat dalam kelas tutorial beliau. Seronok. Dalam kelas beliau, aku boleh bercakap dalam bahasa Arab. Walaupun bahasa arab aku teruk, Dekan tunggu aje aku cakap sampai habis. Di samping membetulkan bahagian-bahagian yang aku tersalah. Di situ aku rasakan sedikit kepuasan untuk bercakap.

Alhamdulillah juga, Dekan ingat juga nama aku. Bukan nak berbangga atau sebagainya, tetapi kita rasa seronok apabila orang yang kita hormat, kenal juga akan diri kita yang tak terkenal ni.. he. Mungkin juga kerana ada terlibat dengan beberapa program fakulti, dekan boleh cop muka aku ni. Selain itu juga, kalau pensyarah kenal kita, rasa malu untuk bertanya tu agak kurang.

Hm, sekarang tanggapan aku terhadap dekan telah berubah. Hipotesis yang telah aku letakkan sebelum ini kurang tepat. Dr. Adnan memang jenis yang serius, tapi beliau juga mudah dibawa berbincang, mesra, kuat ingatan, pick-up, dan banyak lagi sifat/sikap positif pada diri beliau. Membuat aku kagum dengan diri beliau. Selalu aje senyum, aku aje yang tak perasan sebelum ini. (Dekan juga suka gambar-gambar, warna-warni dan gambar animasi yang berkelip-kelip tu kot, kebanyakan slide kuliah beliau mempunyai ciri-ciri tersebut).

Berbalik kepada cerita aku berjumpa dengan beliau petang tadi. Ada juga bertanyakan beliau tentang aku di dalam dewan kuliah.

Minggu kedua sebelum kuliah terakhir, aku amat mengantuk di dalam kuliah beliau (hakikatnya, bukan kat kuliah tu aje..he). Ramai juga rakan yang menyedari. Kata mereka; “Tido macam tido waktu malam”. Setengah jam sebelum kuliah tamat aku terjaga. Rakan-rakan disebelah berbisik; “Tadi dekan tenung lama kat kita, ko sorang aje yang tak bangun-bangun tido”. Mendengar cerita rakan-rakan, rasa malu, segan, takut, dan rasa tak berani nak tengok muka dekan, semua ada. Esoknya, semasa kelas tutorial dengan Dr. Adnan aku hanya menunduk. Tak bersuara. Tapi tak lama, rasa nak bercakap juga. He.

Kuliah Dr. Adnan yang terakhir minggu lepas, aku tak berani tido lagi. Awal-awal kuliah lagi Dr. Adnan memanggil nama aku. Dalam kuliah itu juga, kerap kali Dr. Adnan berpaling ke tempat aku dan rakan-rakan berhampiran. Dalam hati aku berkata: “Memang sah dekan perasan aku tido minggu lepas..”. Hal ini membuatkan aku dan beberapa rakan takut-takut nak tido, walaupun mata dalam keadaan yang amat pedih. Hu.

Namun, persoalannya terjawab petang tadi. Sebenarnya, Dr. Adnan tak perasan pun aku tido dalam kuliah. Hu. Hal dalam kuliah tu, beliau saja-saja panggil nama aku. Tiada sebab lain. Rugi pulak mengaku depan beliau tadi. Kantoi tido dalam dewan kuliah.

Bersama Dr. Adnan juga, ada beberapa teguran yang beliau selitkan. Antara katanya, kebanyakan pelajar tidak serius ketika belajar (khasnya mereka yang tido dalam kelas..hu), kurang berjumpa pensyarah. Beliau juga menegur, jangan malu-malu nak bercakap banyak dalam kelas. Beliau juga bagai dapat membaca fikiran aku dalam kelas. Tadi Dr. Adnan menghurai semula fikiran-fikiran aku semasa di dalam kelas; “Banyak cakap pulak aku ni, orang lain tak cakap pun. Tak nak cakaplah, biar orang lain pulak la yang bercakap..”. Tepat sekali, itulah fikiran yang menegah aku untuk banyak bercakap dalam kelas. Dari dulu sampai sekarang.

Hm, panjang pula aku bercerita kali ini.. Apapun, alhamdulillah rasa beruntung dan bertuah, aku ada guru-guru yang baik dan boleh membimbing. Cuma, kadang-kadang pelajar ni tak nak ambil kesempatan waktu tengah belajar ni. Macam aku ni la, kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa.

Apapun, semakin lama aku di sini, semakin kasih aku kepada guru-guruku. Jasa mereka memang tidak terbalas. Hanya mampu kirimkan doa dan mengungkap terima kasih. Kalau boleh tak nak berpisah dengan para guru. Tapi, tetap kena terima. Masa aku untuk bersama mereka hanya tinggal beberapa ketika. Sekejapnya masa berlalu. Sedang diri masih terkontang-kanting.

Baru sebut sikit tentang guru. Itupun, baru cerita tentang dekan. Belum lagi cerita tentang pensyarah yang lain, tentang mak, abah, keluarga. Apatah lagi kalau bercerita tentang Rasulullah dan para sahabat. Takpela, berhenti dulu setakat ini. Lagipun, cerita di atas ni macam tiada pemfokusan tajuk. Main redah je.

Indahnya nikmat Ilahi. Tidak terhitung kurniaanNya kepada hambaNya. Tetapi, hambaNya selalu lupa. Jauhkan kami daripada istidrajMu. La haula wala quwwata illa billah. Astaghfirullah innallaha kana tawwaba.

Ya Allah, kurniakan kepada kami rasa kehambaan dan syukur kepadaMu.. Ameen.

0 comments:

Post a Comment