Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

AKU HANYA NAJIHAH


Sebelum ini, atas sebab-sebab tertentu aku menamakan blog ni dengan nama ‘Rabbi Zidni ‘Ilma’. Atas sebab tertentu juga, kini aku menukarnya dengan tajuk sekarang. ‘Aku Hanya Najihah’. Bukan ingin memperkenalkan nama, kerana aku bukanlah seorang yang dikenali ramai. Hanya sekadar terasa diri ini tidak bermakna apa-apa, tidak layak menggunakan title blog seperti yang sebelum ini.


Dengan keadaan diri yang jarang sekali beramal dengan ilmu. Tiada istiqamah. Ditambah lagi dengan sikap yang sentiasa lalai dan lupa. Memang tidak layak.


Segalanya bermula saat membaca kata-kata Imam Syafie Rahimahullah:


((من تعلم القرآن عظمت قيمته، ومن نظر في الفقه نبل قدره، ومن كتب الحديث قويت حجته، ومن نظر في اللغة رق طبعه، ومن نظر في الحساب جزل رأيه، ومن لم يصن نفسه لم ينفعه علمه))


Selain itu, meminta untuk ditambahkan ilmu. Tetapi untuk apa? Ilmu dituntut bukanlah untuk berhujah. Ilmu dituntut perlulah hanya keranaNya. Meminta ingin ditambahkan ilmu. Tetapi, kalau tidak beramal apa faedahnya. Jika kita beramal dengan ilmu, sudah pasti Allah akan mencampakkan ilmu-ilmu yang lain kepada kita, tanpa perlu diminta lagi (tapi, sebagai hamba, tidak dapat tidak kena selalu berdoa dan meminta. Allah suka). Mafhum kata-kata ini pun, aku ambil daripada kata-kata seorang pensyarah. Terasa bagai terkena batang hidung sendiri pun ada. Moga aku ambil pelajaran daripada kedua-duanya.


NAJIHAH, hanya sekadar nama. Tiada apa-apa yang agung padanya. Yang dinilai Pencipta, hanya nilai keimanan dan ketaqwaan. Sedangkan Saiyidina Umar al-Khattab yang dijanjikan syurga pun berasa sangat rendah diri. Apatah lagi diri aku ni, yang tiada nilai apa pun.


Bibir menuturkan cinta pada RasulNya. Tetapi, sebenarnya aku tidak layak mengatakannya. Suara melontarkan kasih pada Umar dan Hamzah. Tetapi, sedikit pun aku tidak meneladani mereka. Kagum dengan kehebatan Umar al-Aziz dan Sultan Muhammad al-Fateh. Namun, hanya sekadar rasa kagum. Tiada tindakan susulan.

0 comments:

Post a Comment