Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

BICARAWARA_3


Khamis (11/06/09) – Mengenal Diri Dengan Kebeningan Diri

Antara kelemahan kita ini, kita terlalu banyak memikirkan kesalahan orang lain, padahal kita tidak boleh memperbaiki orang lain tanpa kita memperbaiki diri sendiri. Orang lain, mereka tidak hanya mendengar, melihat, tetapi turut merasai. Semakin jauh antara perkataan dan perbuatan kita, kita semakin tidak didekati. Jadi, kurang bermanfaat orang yang mperbaiki orang lain, tetapi tidak diawali memperbaiki diri sendiri.

Kita juga harus selalu inginkan untuk memberi yang terbaik. Mengapa? Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat. Kita tak akan mulia dengan wang yang kita miliki, tapi kita mulia dengan wang yang kita derma. Kita tidak mulia dengan ilmu yang kita miliki, tapi kita mulia dengan ilmu yang diajarkan kepada orang lain.

Ini merupakan konsep penting, kita awali hidup ini dengan, satu: Bagaimana memperbaiki diri, dan yang kedua: Memberikan yang terbaik.

Bagaimana ingin mengenali diri? 5 strategi ini, mudah-mudahan kita tahu siapai diri kita. Tidak tahu siapa diri, tidak tahu apa yang di ubah. Tidak merubah diri, tidak bisa merubah orang lain.

1. Kita harus berani untuk muhasabah, kritik diri. Adakah saya seorang yang iri dengki? Adakah saya seorang yang sombong? Adakah saya seorang yang pemarah?..etc. Jujur dengan diri sendiri.
2. Harus punya cermin diri, iaitu teman yang mahu berbicara kepada kita apa adanya. Seorang teman yang jujur, tidak hanya mengatakan yang baik tentang diri kita, sebaliknya juga berani memberitahu apa yang buruk tentang diri kita. Ciri sayang kepada seseorang bukan hanya memuji, tetapi turut juga mengkritik apa yang salah.
3. Datang kepada ahlinya (Ulama, orang soleh, guru, ustaz..etc) yang kalau melihat kita, ia punya ilmu mengetahui diri kita, seperti halnya jika kita berjumpa dengan seorang doktor.
4. Manfaatkan orang yang benci kepada kita. Tidak usah marah dan sakit hati. Dengar dan terima apa yang mereka katakan. Kalau benar apa yang dikatakan tentang diri kita, Alhamdulillah. Doakan kebaikan kepadanya. Kalau tidak benar, Alhamdulillah. Kita tidaklah seperti apa yang ia perkatakan. Tidak bahaya dikritik dan mengkritik, yang berbahaya ialah orang yang tidak mahu dikritik.
5. Renungkan keadaan sekeliling kita. Ada mereka yang sombong pemarah dan sebagainya. Adakah kita memiliki sifat seperti mereka? Ada juga mereka yang baik hati, pemurah dan sebagainya. Adakah diri kita memiliki sifat-sifat itu? Semakin banyak kita membuat pemerhatian, kita semakin tahu, seperti yang manakah diri kita?

Kita melihat orang lain bukan untuk menghina, tetapi untuk mengambil iktibar daripadanya. Jika kita dimarahi orang lain dengan kata-kata yang kasar dan tidak sewajarnya. Kita berfikir, bererti jika kita seperti dia, orang lain akan sakit hati. Begitu juga jika ada orang yang baik pada kita, itu satu pelajaran. Bererti, kalau kita baik, orang lain juga akan suka.

Adakalanya kelebihan-kelebihan yang ada pada kita harus disyukuri. Kerana, kelebihan-kelebihan itu adalah kurniaan daripada Allah. Namun, bukan pula untuk dibanggakan. Kerana prinsip kita, dihormati dan dimuliakan orang lain, bukan kerana kita mempunyai kelebihan, tetapi Allah yang menutup kekurangan kita. Jadi, sebetulnya jika dipuji kita harus malu, kerana Allah menutupi keburukan yang ada pada diri kita. Maka, jika ada mereka yang memuji kita, segeralah memohon keampunan daripadaNya.

Tidak boleh menerima kritikan?

Bayangkan jika kita duduk di atas kerusi, dan dibawahnya ada ular yang sedia untuk mematuk. Lalu, ada orang yang menegur kita dengan marah, bahasanya juga kasar. “Hei, bodoh! Ada ular kat bawah kaki kamu tu! Gunalah mata sikit, guna fikiran kamu!” Dalam masa yang sama, di samping kita ada batang kayu yang besar. Siapa yang ingin kita pukul, ular atau orang yang menegur? Masalahnya, ada antara kita yang suka memukul orang yang menegur itu. Akibatnya, kita dipatuk ular. Begitu juga kalau dikiaskan hal ini dengan orang yang mengkritik kita.

Seharusnya, dari awal lagi sudah memberi komitmen untuk dikritik. Jadikan kritikan seperti makanan. “Saya perlu kritikan, tanpanya saya bisa jatuh ke dalam jurang.” Kritikan itu rezeki daripada Allah, kritikan itu kasih sayang daripada manusia. Kalau orang bisa menerima kritikan, ia cepat sekali maju. Kalau orang yang tidak mahu dikritik, seperti orang yang tidak mahu bercermin. Wajah dan tubuhnya tidak terurus.

“Ya Allah,
Ampuni sebanyak apapun dosa kami
Ampuni sekelam apapun masa lalu kami
Ampuni ibu bapa, rakan-rakan, keluarga dan keturunan kami
Berikan kesanggupan kami memperbaiki diri
Berikan kesanggupan kami memberikan yang terbaik dalam hidup ini
Semata-mata keranaMu ya Allah..”

0 comments:

Post a Comment