Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

INGATAN UNTUK DIRI



Sejak awal lagi aku sudah khabarkan, kadang-kadang aku lebih suka meluahkan rasa melalui tulisan. Berbicara tanpa suara. Seakan lepas bebanan rasa yang ada dalam diri.

Belakangan ini aku agak gemar mendekati seorang pensyarah. Banyak tip-tip, doa, cerita dan sebagainya yang beliau kongsikan. Sebagai seorang yang suka mendengar, aku akui aku senang dengan keadaan itu. Aku juga ada menanyakan beberapa pendapat tentang hal-hal yang boleh dikatakan agak peribadi. Agaknya la. Alhamdulillah, sedikit sebanyak aku mendapat jawapannya.

Walaupun begitu, aku agak kurang senang dengan gelagat seorang rakan. Mungkin bukan niatnya nak memalukan aku. Bergurau mungkin. Tapi, hakikatnya aku malu dengan pensyarahku kerana kata-katanya. Kenapa begitu terbuka menyatakan perihal aku. Aku malu. Sedaya upaya aku tutupi rasa malu tika itu. Dalam hati masih berdoa, janganlah ia ulangi kata tentang perihal aku kepada pensyarah itu. Terasa aibnya. Tak tahulah kalau ada manusia yang gemar aibnya diperkatakan orang.

Tapi tak mengapalah, beberapa tika selepas itu, aku dikhabarkan emak tentang perihal abang aku. Alhamdulillah, abang aku berjaya mendapat kerja yang dipohonnya beberapa bulan lepas. Dengar-dengar cerita daripada emak, nampak beliau gembira. Tak sia-sia aku yakin dengan abang. Tak sia-sia aku yakin dengan Allah. Aku pun tumpang gembira dengan pencapaian abangku itu. Sekurang-kurangnya abang dah gembirakan hati mak dan abah. Bilalah aku nak gembirakan mak dan abah.. Dah tua-tua macam ni pun masih menggunakan wang mereka. Tak ada apa-apa yang aku berikan pada mereka.

Jumlah ahli keluarga aku hanya mencecah 5 angka. Bermakna hanya kami 3 beradik yang menjadi permata hati ibu bapa, insyaAllah. Kalau nak dibandingkan dengan rakan-rakan aku, jumlah keluarga/adik-beradik mereka ramai. Kalau dilihat daripada beberapa sudut, rasa rendah diri itu memang ada, antaranya soal berkaitan diri. Aku pernah terbaca sebuah artikel tentang persoalan mencari pasangan. Kandungan artikel itu menyebut supaya mengutamakan wanita yang mempunyai adik-beradik yang ramai kerana sebab-sebab tertentu.

Tapi, jika dilihat dari sudut yang lain, aku rasa amat bertuah. Alhamdulillah, bilangan ahli keluarga yang sedikit membuatkan kami rapat antara satu sama lain. Apa sahaja hal yang berlaku, pastinya dikongsi bersama. Aku teringat saat aku menjadi tempat sindiran beberapa golongan yang kurang berpuas hati dengan keluarga kami, aku balik mengadu. Kami berkumpul bersama. Bersama menenangkan hatiku. Terima kasih abah, mak, abang dan adik!

Aku juga masih ingat kata abang aku. Katanya, mak dan abah ada 3 orang askar. Yang boleh menjadi kebanggaan, mengangkat dan meninggikan nama mak dan abah hanyalah dengan 3 orang askar tu, kami 3 beradik. Antara kata abang, yang masih aku ingat juga. Katanya, dia amat pantang mendengar cerita ada anak-anak yang tak balik jumpa ibu bapa setelah bekerja dan sebagainya. Alasannya sibuk. Di situ, abang aku berpesan kepada adik-adiknya, sesibuk mana pun kita waktu akan datang, jangan sesekali ucapkan pada mak dan abah “Saya sibuk”. Kalau betul pun sibuk, cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan mak dan abah. Moga kami sentiasa berpegang dengan kata itu.

Keluarga aku pun bukanlah datang daripada mereka yang belajar agama, ‘arif tentang agama. Bukan daripada golongan ustaz dan ustazah. Bukan mereka yang tahu tentang kitab-kitab lama warisan ulama’. Keluarga kami hanya daripada golongan yang biasa. Tapi Alhamdulillah, hati ibu bapa aku dibuka Allah untuk menghantar anak mereka untuk belajar agama. Dengan izin Allah juga, anak-anak itu tahu juga tentang agama, walau hanya sedikit. Daripada tak didedahkan langsung. Besar tak besarnya jasa ibu bapa kalau nak dibahaskan. Moga dengan anak-anak inilah yang menjadi syafaat untuk ibu bapa mereka di akhirat nanti.

Duhai diri, ingatlah:

1. Allah tak menjadikan segala sesuatu dengan sia-sia. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi, walaupun kadang-kadang kita tak nampak dan tak sedar.

2. Rezeki itu datangnya daripada Allah, pasti ada dimana-mana. Hanya perlu yakin. Siapa kita nak persoalkan soal rezeki ni? Memang terkadang rasa susah dan kesempitan, namun sabar dan terimalah dengan hati yang redha. Pertolongan Allah itu pasti ada. Cuma tak tahu bila dan bagaimana bentuknya sahaja.

3. Hormati ibu bapa, cuba senangkan hati ibu selagi mana termampu.

4. Cuba perbaiki diri, moga menjadi pembantu kepada ibu bapa di akhirat nanti. Selain amalan-amalan baik, anak-anak yang soleh boleh membantu ibu bapa nanti, insyaAllah.

5. Tuntutlah ilmu. Moga dengan ilmu itu menjadi wasilah kita daripada Allah sebagai penjaga.

6. Sentiasalah yakin dengan Allah. InsyaAllah dipermudahkah urusan.

“Ya Allah, tenangkan hati kami dengan janji-janjiMu.. Jadikan kami di kalangan umat kebanggaan kekasihMu Rasulullah Muhammad SAW.”

0 comments:

Post a Comment