Aku lebih suka meluahkan rasa hati melalui tulisan, seakan segala beban perasaan yang ditanggung akan berkurang.
Sudah menjadi fitrah insan, ada perkara yang mereka sukai, dan begitulah sebaliknya. Aku suka mendengar cerita, aku juga tidak kisah jika jika sesiapa ingin berkongsi cerita denganku. Tapi, semuanya ada had dan masa tertentu.
Aku bukanlah seorang yang penyabar, dan pendengar setia bagi mereka yang mengajak aku berborak dengan cerita2 yang aku rasakan tidak berfaedah. Di setiap ketika, ada sahaja ceritanya. Malahan, terkadang dirasakan sudah beberapa kali aku mendengar cerita yang sama. Di rumah, di kampus, dalam kelas, sewaktu makan, berjalan, ada sahaja cerita. Terkadang timbul rasa bosan dalam diri. Terdetik dalam hati, ‘dah2la berceritanya, aku bosan, aku letih, aku juga perlukan waktu untuk berdiam dan bersendiri’. Namun, segalanya hanya terpendam dalam hati. Tidak sanggup rasanya mengatakan yang sebenarnya. Hati manusia mudah terguris, aku tidak mahu jika hanya kerana aku berterus terang, hubungan kami menjadi asing. Lalu, jadilah aku manusia yang hipokrit. Suatu sifat yang sememangnya menjadi kebencian manusia.
Saat aku benar2 tidak tahan dengan keadaan itu, terkadang hilang juga rasa nak menjaga hati orang ni. Dia bercakap, aku hanya berdiam tiada respon. Dia bercerita, aku seolah bagai tidak mendengar, dan membuat kerja2 lain. Dia memandang, akan ku alihkan pandanganku daripadanya. Yang bermaksud, aku berada dalam keadaan yang tidak bersedia untuk bercakap dengannya. Seandainya aku terus memandangnya, berkemungkinan kesabaranku akan terhakis.
Kadang2 kita boleh menjadi seorang yang memahami, kerana kita pernah melalui perkara sama. Aku bukannya tidak pernah merasai perasaan orang buat endah tak endah denganku. Sedikit sebanyak ada perasaan terguris dihati. Aku tahu macam mana rasanya. Aku faham bagaimana rasanya tidak di endahkan. Sedih, sayu dan sebagainya. Faham orang itu tidak mahu mendengarkan aku. Kini, aku menjadi orang yang membuat endah tak endah itu. Dan dia, menjadi orang tidak di endahkan. Persoalannya, kenapa reaksinya masih sama? Masih berbicara, masih rancak bercerita. Fahamlah sahabat. Fahami reaksi aku itu.

0 comments:
Post a Comment