Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

CERITA DIA


:: PROLOG ::


Sudah lama sebenarnya dia menunggu kedatangan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Kalau tidak salah, sejak Ramadhan tahun lalu. Tika itu, seseorang memberitahunya yang maksudnya lebih kurang; untuk membersihkan hati dan diri, menambah amal, dan merasai kemanisan Ramadhan dan lailatul qadrnya ..etc, prosesnya bukanlah bermula apabila Ramadhan tiba, tetapi perlu diawali sejak Rejab lagi, diikuti Syaaban, seterusnya Ramadhan. Walaupun begitu, sudah tentunya amal baik perlu dilakukan seawal dan sebaik mungkin bukan?

Semoga Rejab, Syaaban dan Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Malam al-Qadr tidak pernah dikecapi, hanya cerita dan pengalaman mereka yang sering dia dengari. Dia ingin mencuba lagi buat kali ini. Doanya,

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

*Berkaitan doa ini, teringat kata-kata abangnya. Mengambil contoh waktu kematian seseorang di syaaban yang lepas. Arwah tidak sempat untuk bertemu Ramadhan. Kata abangnya, selalulah berdoa, moga diberi kesempatan bertemu Ramadhan.



* * * *



Ingin merebut cinta Khaliq menjadi fitrah insani. Setiap insan mahu memilikinya. Namun, ujian, cabaran dan dugaannya besar, malah adakalanya dirasakan amat pahit. Kerap kali tersungkur, ketika kaki ini baru ingin melangkah.


Ujian yang tiba hanya sedikit, dan mudah. Tetapi, jiwa yang penuh penyakit ini merasakan ia ujian yang susah, pahit.


BAB 1


Marah. Masih bersarang pada diri. Menahan rasa itu sakit. Ya, sangat sakit. Mengadu lemahnya diri, idak mampu mengawalnya daripada terbit. Dari dalam diri tertanya-tanya, mengapa hanya ujian ini yang datang? Hal ini juga dia kongsikan bersama abang kesayangannya, jawab abangnya:



"Kalau ikutkan nak jugak marah, tapi Tuhan kata 'tak boleh'.. Fikirlah secara positif."



Bagaimana nak fikir positif??



"Hm, contohnya abang pernah terasa dengan awak.. Cepat-cepat buangkan, Bayangkan kalau awak mati, mahunya menyesal tak sudah. Abang dah hilang seorang adik.. Fikir positif."



Dia terdiam. Menahan tangis.



BAB 2



Sesekali terasa pula dosa yang dilakukan amat besar. Di dalam diri tertanya-tanya kenapa ditakdirkan dosa itu untuknya? Dia tidak suka itu.. Dia tidak redha akannya. Tapi Tuhan menegurnya dengan apa yang pernah dia pelajari sebelum ini. Jangan sesekali bersangka buruk padaNya. Sesungguhnya hanya Tuhan tempat memohon, mengadu dan berlindung. Namun, diri ini masih tertanya.. Laa ilaha illa Allah.



Dia kembali cuba melangkah, moga-moga tidak terjerumus lagi melakukan dosa yang sama. Rasanya takut sekali. Pada Allah dia mohon perlindungan.



Setelah itu, kembali bersedia mengangkat kaki untuk melangkah. Agak bersemangat.



Pada waktu sama abangnya menegur, mungkin juga mengingatkan, tentang sesuatu.



Baru dia sedari, selama ini dirinya diperdaya syaitan iblis. Kononnya ingin mencegah dosa kecil, padahal dalam waktu sama tanpa sedar dia sendiri sedang melakukan dosa yang besar, yang termaktub di dalam al-kitab. Kecewa. Terasa dirinya jahil. Mudahnya ditipu musuh. Hati bagai memberontak. Bagaimana ini?? Dia ingin hampir, mengapa terasa bagai semakin jauh?? Terasa ingin berputus asa.

Sejenak dia terfikir, apa pulangannya jika berputus asa? Hanya murka Allah dan RasulNya. wal'iyazubillah min zalik. Dia ingin menjadi pencinta.



Oh, begitu banyak persoalan dirinya. Moga persoalan itu membawa dirinya lebih dekat, bukan semakin jauh. Lindungi dia ya Allah, dia takut, bimbang.


BAB 3


SubhanalLah, AlhamdulilLah, AlLahu akbar..



Tidak lama setelah itu, dia bagai mendapat jawapan daripada persoalan menghimpit.



>> Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam:


مايصيب المؤمن من وصب ولانصب ولا سقم ولا حزن حتى الهم يهمه إلا كفر به من سيئاته

Tidak menimpa seorang mukmin dari kesakitan, kepenatan, kecelakaan, kesedihan hingga kerisauan yang dirisaukan kecuali dihapuskan dengannya itu segala kejahatannya. (Riwayat Imam Muslim)


*Menurut dari hadis itu menunjukkan bahawa kesakitan,kesedihan dan kerisauan adalah penghapus dosa kita. Tidak kiralah samada kesakitan dan kerisauan itu pada sesuatu yang zohir atau ma'nawi. (rujukan)


>> Berkata Sheikh Ibnu 'Athoillah RA: "Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama TuhanMu, kerana kadangkala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu."



:: EPILOG ::

Untuk kesekian kali, dari dalam dirinya dia tersimpan pengharapan,



Ya Allah,

Diriku ini masih menyimpan cinta dunia,

Suka akan maksiat,

Mudah sekali diperdaya dunia dan segala isinya,

Justeru, aku meminta perlindunganMu daripadanya

Pimpin diriku, pandu diriku agar tidak tersungkur lagi



Aku berlindung padaMu ya Allah,

Daripada perasaan ingin mengulangi dosa lalu,

Daripada dosa yang aku ketahui,

Juga daripada dosa yang dilakukan tanpa pengetahuanku..



Ya Allah,

Bantulah aku dalam melaksanakan hak-hak

Hak atasMu

Hak rasulMu

Hak kedua-dua ibu bapaku

Hak guru-guruku

Hak teman-temanku

Hak muslim seluruhnya

Hak sekalian makhluk ciptaanmu

Seterusnya hak terhadap diriku sendiri



Ya Allah,

Engkau Maha Tahu

Para pecinta Allah dan RasulNya,

Golongan soleh dan solehah itu banyak sekali

Dari generasi hingga generasi

Golongkanlah aku bersama mereka

Yang sentiasa meraih cinta



Ya Allah,

Kami minta dekat kepadaMu,

Kami minta dicintai oleh Allah dan RasulNya

Kami minta disayangiMu



Ya Allah,

Kami minta kedekatan kepadaMu

Kami minta kelembutanMu

Kami minta kasih sayangMu

Kami minta cintaMu



Ya Rabbi,

Jauhkan kami daripada istidrajMu

Jangan kau biarkan kami termasuk golongan yang dilalaikan.

............



0 comments:

Post a Comment