Nama USIM, tidaklah se’gah’ nama universiti-universiti tempatan yang lain. Namun, aku bersyukur, dengan kehendak Ilahi aku terpilih menjadi salah seorang warga Universiti Sains Islam Malaysia. Aku tenang dengan suasana persekitarannya, bersama teman-teman dari latar belakang yang sama. Tahu tentang Islam. Dikelilingi pensyarah-pensyarah yang berilmu dan bersedia berkongsi ilmu yang ada. Sedikit sebanyak, diri bagai ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiyah.
Semalam aku menonton video yang dirakam semasa Kem Motivasi STAM 2006, kenangan bersama guru-guru dan teman-teman seakan segar di ingatan. Aku tidak berkesempatan menyertai program tersebut. Seorang kawan yang menyertai program itu tiba-tiba berminat menghulurkan CD rakaman video itu untuk tatapan aku.
Salah satu peristiwa yang dirakam ialah, ketika sesi muhasabah. Seorang pelajar lelaki menangis sambil melutut dan memeluk kaki seorang guru. Hati terharu melihat, guru itu cuba memapah kembali anak muridnya yang melutut meminta maaf, mengusap dan menenangkan bagai seorang ayah. Lantas memeluk pelajarnya dengan kasih sayang dan pengharapan, agar pelajarnya menjadi insan berguna. Walaupun ketika itu, pelajar tersebut dipenuhi lumpur akibat aktiviti riadah sebelum sesi muhasabah tersebut. Guru yang dimaksudkan adalah Ustaz Lebai Idris, seorang guru disiplin. Itulah antara kasih guru terhadap anak didiknya.
Namun, sejauh mana kita sebagai pelajar menjunjung harapan guru-guru kita? Sejauh mana kita sebagai seorang anak memikul amanah ibu bapa kita?
Tidak terkira ucapan terima kasih buat guru-guruku. Sejak sekolah rendah sehinggalah ke akhirnya. Hakikatnya, tiada kata yang layak untuk mengucapkan ungkapan terima kasih itu. Terlalu besar nilainya bagiku. Hanya Allah sahaja yang bisa membalas jasa kalian.
Hati aku sedikit terguris. Semalam, aku membiarkan guruku membawa dan memulangkan kembali LCD dan laptop yang dibawanya ke pejabat fakulti. Dan aku, hanya memandang. Guru itu juga menolong kami menyusun kembali meja yang kami gunakan. Wahai guru, aku terasa bersalah tika menghadapi saat itu. Tidak seharusnya bagimu kerja-kerja seperti itu.
Maafkan aku wahai guru-guruku. Aku bersalah terhadap kalian. Jarang sekali aku menunaikan hak kalian, guru-guruku. Maafkan aku. Sesungguhnya berkatnya ilmu itu dengan redha kalian.
Duhai teman-temanku, marilah kita bersama-sama beradab dengan guru. Hormati mereka. Doakan mereka. Pohonlah kemaafan dan keredhaan mereka. Tiada seorang pun dalam kehidupan insan, selain daripada kedua ibubapa yang lebih berjasa dan layak dihormati melebihi daripada guru. Guru adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama, sementara ulama pula adalah pewaris para nabi. Begitulah kedudukan ilmu, guru dan ulama adalah saling berkaitan.
Ulama-ulama salaf sangat memuliakan dan menggagungkan guru-guru mereka. Ini jelas termaktub dalam kisah-kisah tentang akhlak mereka dalam majlis-majlis ilmu dan kesopanan mereka terhadap guru-guru mereka. Sebagai contoh:
- Mughirah berkata: “Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘ie sepertimana kami menghormati raja”.
- Imam Asy-Syafi‘e pula berkata: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut)”.
- Rabie‘ berkata: “Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafi‘e memandang kepadaku”.
- Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata: “Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa”. (dipetik daripada www.jomfaham.blogspot.com - adab menuntut ilmu1)
Di akhirnya, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru-guruku semasa di:
1. Sek. Keb. Teluk Ira, Temerloh, Pahang.
2. Sek. Men. Agama al-Wusto, Temerloh, Pahang.
3. Kulliah Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.
4. Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
“Puji-pujian hanya untuk-Mu Rabb sekelian alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad SAW. Pada-Mu ya Allah tempat aku memohon segala. Ampunkan dosa-dosaku, ibu bapaku, guru-guruku dan rakan-rakanku. Tunjuki kami jalan yang Engkau redhai. Jadikanlah kami hamba-Mu yang berpegang dengan aqidah yang benar dan berpegang teguh pada syariat-Mu. Peliharalah akhlak kami berlandaskan akhlak kekasih-Mu Rasulullah Muhammad SAW. Tambahkan ilmu kami. Permudahkanlah urusan-urusan kami. Jadikanlah kami dikalangan hamba-Mu yang bersyukur. Ameen ya Rabb al-‘aalamiin..”
DI PENJURU HATI
Di tengah keriuhan suara kami
Lembut kidungmu mengalun citera
Tentang hikayat bangsa tersinar cahaya
Tandus budaya ilmu
Kau lontarkan sejauhnya kepentingan diri
Meletakkan kami ke mercu citamu
Demi melihat sinar menyinari jiwa
Anak-anak bangsamu
Di penjuru hatiku ini jasamu terukir
Sentuhan kasih sayangmu membentuk hidupku
Dedikasai tiada nilainya menggunung harapanmu
Terima kasih segalanya
Ditengah keriuhan suara kami
Kau melangkah pergi meninggalkan memori
Setelah sekian lama mengabdikan diri
Sejahtera ke atas kamu
Dipenjuru hatiku ini jasamu terukir
Sentuhan kasih sayang membentuk hidupku
Moga Tuhan menerima seluruh amalanmu
Bahagia dunia dan akhirat
*P/S: Ex-alwusto yang ada original lyric boleh r tolong betul2kan lirik kat atas ni. Saya ingat-ingat lupa.

0 comments:
Post a Comment