Nukilan Hati..

Seorang wanita, anak, isteri dan ibu..

MAHAR SEBUAH SYURGA


Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi sunnatullah, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang kita tidak suka lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk Berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia, kita memerlukan perubahan. Kita perlu keluar daripada ‘zon selesa’ menuju ‘zon mencabar’ kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu awkward – yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang Berjaya ialah yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusai tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, ayau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan Berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Untuk melakukan perkara yang perlu dibuat walaupun kita tidak suka membuatnya, ia menagih kesabaran, keberanian dan istiqamah (konsisten). Ini semua seolah-olah menyeksa diri sendiri. No pain, No gain – Tidak ada kesakitan, Tidak ada ganjaran. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renagn ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Begitu yang dipesan sejak dulu. Justeru, untuk Berjaya, mujahadah itu adalah wajib.

Mujadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diriuntuk disakiti.

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit tidak boleh. Hendaknya…banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikanya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk menanam. Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memang payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam lagi kesusahan. Apabila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan tempat membayar. Di akhirat nanti tempat bermain. Pay now, Play later. Bayar di sini, berseronoklah di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan pada kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

Orang Mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya, terlalu sibuk dengan ibadah. Berpindah dari ibadah khusus kepada ibadah umum, berpindah lagi kepada ibadah sunat. Begitulah sehari semalam, sentiasa berpindah dari satu ibadah ke satu ibadah.

Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang Mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sebaliknya, bagi mereka yang lalai berpegang kepada konsep: Play now, Pay later. Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga.

Justeru marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima kepahitan yang sedikit ang sementara, demi menikmati kemanisan yang banyak yang abadi di sana. Oh, alangkah jahilnya kita sekiranya rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.

Sebaliknya, kita bijak kalau terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehinggalah tiba ketikanyankita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita suka lakukan. Di mana? Bila? Jawabnya, di syurga. Dan Mujahadah Itu Mahar Sebuah Syurga!

(Sumber: Majalah Anis/April2009: Mahar Sebuah Syurga oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)

0 comments:

Post a Comment